Jangan dicuri masaku andai kau tak mampu memberinya lebih.
Jangan diberi masamu andai ku tak tahu cara menerimanya.
Masa.
24 jam sahaja yang kita ada seharian. Bila mata mula mahu pejam, mungkin ini jaga kita yang terakhir dan mungkin juga orang di sebelah kita tak dapat lagi memeluk kita keesokkan harinya.
Fitrahnya berlalu tanpa kembali. Yang datang hari ini tidak akan datang lagi esok, walaupun zatnya sama, 24 jam. Itulah masa. Cemburukan kita atau cemburukah kita?
Suami yang pulang kerja, setelah menghabiskan kebanyakan masanya di luar akan cuba untuk memberi kualiti masa yang terhad buat isi rumah sesampai kakinya di muka pintu bait. Badan yang letih kekadang dilupa dan dipaksa untuk menyambut pelukan anak-anak malah mungkin juga masih berkudrat untuk bermain-main bersama.
Isteri yang tidak bekerja menghabiskan keseluruhan masanya di dalam rumah ataupun di lingkungan kerjanya yang tidak pernah habis. Sama sahaja keadaannya, selalunya melupakan penat dan mengabaikan rehat demi memenuhi keperluan kesemua isi rumah. Malah ada yang kaki tak larat nak berpijak, gagahkan jua menelan sebiji dua panadol agar sakit pergi cepat-cepat, kerana tiada masa untuk berehat.
Anak-anak yang masanya sentiasa suka. walau keletihan di sekolah, di padang bola, di gelanggang badminton, di pusat tusyen. Mungkin metablisma mereka belum ampuh untuk sekejap-sekejap duduk bersimpuh. Mereka sentiasa senyum dan yakin esok masih ada untuknya.
Sekejap betul.
Lalu, janganlah diambil masa-masa yang haknya ada di situ.
Andai kalian punya kerja, letaklah ke tepi sebentar. Di sana ada masa untuk yang tersayang. Ada ketika mereka memahami, namun tak selalunya mereka akan mengerti apabila masa mereka diambil olehmu, sedang dirimu tahu yang kamu tidak mampu memberi lebih.
Andai kalian tidak pula reti menghargai, maka janganlah pula meminta-meminta lebih. Belajarnya menerima ketentuan masa itu sahaja yang kamu tega buatmu dan buatnya.
Sekejap buatku, lama buatmu,
Penuh buatku, jenuh buatmu.
Rompong untukku, padat untukmu,
Membazir untukku, manfaat untukmu
Aida Ishak
Shah Alam
No comments:
Post a Comment