Monday, December 22, 2014

Kalut di Pagi Hari






Jitukan jiwa dengan sabar
Pasakkan jiwa dengan sabar
Kemaskan jiwa dengan sabar
Biar sabar menembok hati
Biar sabar mengeras di hati
Biar sabar memeluk hati



“Letak lah di situ, nanti Mama basuhkan. Mama nak siapkan gosok baju Baba ini dulu. Sabar sikit ye sayang.” Saya cuba menenangkan Aiman Hashim yang tidak sabar hendak makan dan hanya mahu menggunakan pinggannya yang berwarna biru. 

“Aiman nak sekarang. Kalau tak nanti food tu Abang dengan Kakak makan habis.” Aiman tidak putus asa, cuba untuk memanjat sinki. Saya yang sedang kalut dengan masa cuba untuk bersabar seketika dan membiarkannya sementara saya menyiapkan pakaian suami. 

Kelentang! Kelentung!

Saya menoleh ke belakang. Aiman yang masih di sinki melihat saya dengan rasa bersalah. Beberapa cawan yang ada di atas kabinet berdekatan sinki, telah jatuh ke dalam sinki dan berlaga sesama sendiri apabila Aiman Hashim cuba memaut cabinet untuk memanjat sinki. 

Kebetulan semalam saya keletihan, maka saya tidur lebih awal dan membiarkan beberapa cawan dan pinggan tidak berbasuh di dalam sinki.

“Aiman nak cepat. Nanti habis food.” Dia meminta bantuan saya untuk turun. Airmatanya sudah bertakung dan menunggu masa untuk luruh.

“Mama dah cakap, tunggu sekejap. Itu cawan yang jatuh, kalau Aiman?” Saya cuba membuka ruang untuk dia meminta maaf. Aiman masih menggumam, dia tunduk dan cuba untuk menggunakan ‘soft skill’nya untuk saya cepat-cepat melepaskannya. 

“Aiman lapar.”

Saya membantunya turun dan kemudian membasuhkan pinggan kegemarannya. Dia kemudiannya mengelap matanya yang penuh takungan air dan menguntum senyum, cepat-cepat ke meja makan bersama Balqees Hashim dan Haarith Hashim bersarapan.

"Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan)dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar" (Al-Baqarah 2:153)

“Aiman solat betul ke tidak tadi?” Saya menyambung kata-kata, ingin mengujinya.

Dia mengangguk tapi tidak menjawab apa-apa. Pancingan kata-kata saya nampaknya masih belum mengenanya. 

“Kalau orang solatnya betul, tentu dia sabar.”

“Ha, Aiman solat berapa rakaat?” Balqees Hashim cuba mengumpannya, tetapi saya membuat memek muka tidak bersetuju bila Kakak mula masuk campur. Kakak diam. 

“Aiman tak buat lagi.”

Nah, sekali lagi berjanji. Apalah ada pada janji si kecil berusia 6 tahun? Saya tersenyum. Tak apa, sekurang-kurangnya dia tahu apa yang dia buat adalah membahayakan dirinya. Esok-esok dia faham. 

“Janji bukan untuk sekejap. Janji Aiman jadi anak soleh ye sayang?”

Dia senyum. Tidak menjawab tetapi wajahnya nampak menerima apa yang saya kata-katakan. Dia meneruskan bersarapan bersama-sama Abang dan Kakaknya sambil berbual-bual. Syukur hari ini Allah beri saya sabar. Jika tidak, mungkin kata-kata saya ataupun perbuatan saya akan menyakitkannya. Alhamdulillah.  

Inilah ujian seorang Mama di pagi hari, detik hati saya. Keletihan semalam perlu menyuntik lebih sabar di waktu pagi di mana saya perlu lebih cepat dan tangkas. Selalu saya membaca dan selalu juga saya meletakkan dalam kepala yang lebih baik untuk saya menyiapkan pakaian untuk di gosok selama seminggu terus, daripada menggosoknya setiap hari. Masa jimat dan bil elektrik pun jimat.
 
Tetapi itu bukan saya. Saya lebih rasa puas melihat anak-anak dan suami memakai pakaian yang masih ‘panas’. Yang saya lihatnya sangat kemas pada pandangan hati saya. 

Maka, bila terlambat bangun, ataupun ada yang membuat perangai di pagi hari, jawabnya, Mama akan kalut!

Aida Ishak
Shah Alam

No comments:

Post a Comment