Tuesday, July 28, 2015

Minat dan Genggaman






Suatu hari ketika pulang sekolah..

“Mama, Haarith minat dengan lego lah Mama.”

“Oh, jadi kenapa dengan lego?” saya kebuntuan apabila disuakan dengan ayat penyata sebegitu oleh Haarith Hashim.

“Haarith suka sangat, ermm, kalau boleh Haarith nak Mama belikan satu yang kecik pun tak apa.” Dia membuat muka comelnya. Seakan tahu hati Mama selalu cair apabila anak-anak membuat muka sedemkian.




“Yang minat, Haarith. Tapi yang penat, Mama.” Saya membalasnya, tanpa melihat mukanya.

Dia mendatangkan mukanya di hadapan saya, mengerutkan dahi dan menyepetkan matanya yang agak sepet berbanding dengan adik beradik yang lain.

“Iye, yang main Haarith, tapi yang kutipnya?”
“Oh..” dia senyum. Terkena.

“Anak yang soleh, minatnya kena lah selari dengan tuntutan. Bukan main taram aje.” Saya memegang jemarinya.

Seperti biasa, situasi begini selalunya akan berlaku di dalam kereta. Saya tidak akan bercakap seperti sepasang kekasih jika bukan di dalam kereta kerana suasana syurga kecil kami memang selalu gamat, dan tentunya nasihat atau kata-kata tidak dapat menembusi hati anak-anak.

“Kalau minat main lego, tentu dia tahu caranya, ambil, main dan simpan. Kalau balik sekolah, mandi, makan dan buat homework ataupun baca buku. Kalau tengok tv, buka tv perlahan, tonton cerita yang sesuai, habis yang mahu ditonton, tutup tv. Kalau ambil barang orang, tanya dan minta izin dahulu. Kalau masuk ke tandas, baca doa, pakai selipar, tunaikan hajat, bersihkan sebelum keluar, bukan orang yang masuk kemudiannya kena bersihkan.”

Dia tertawa lagi. Semua yang saya sebutkan itu adalah satu bentuk amaran sebenarnya, namun saya cuba sampaikan sehabis lembut dan masih dengan hati yang lembut.

“Kalau Haarith janji, Mama belikan lego?”

“Orang Islam, kena pegang janji, kalau tak namanya munafik.”

“Mama munafik lah.” Ha, sekarang, Mama yang terkena.

“Haarith yang berjanji, Mama yang munafik?”

“Mama kata nak jemput awal, tapi Mama sampai lambat.”

“Mama sebut tak tadi, insya Allah?”

Dia mengangguk.

Entah kenapa. Merasakan jemari Mama digenggam erat olehnya, air mata jatuh.
Genggam lah anak. Mama akan sentiasa rindukannya….

Aida Ishak
Shah Alam

No comments:

Post a Comment