Monday, December 29, 2014

Saya Manusia Biasa


Adakalanya saya terlupa. 
Ada suatu masa saya sedang sibuk menguruskan anak-anak yang mahu ke sekolah. Saya ke hulu ke hilir mahu menyiapkan mereka dalam ertikata persiapan terbaik untuk ke madrasah ilmu. Saya mahu mereka tampil sebaiknya untuk mengutip seberapa banyak ilmu yang mereka mampu. Saya ke dapur, saya ke ruang tamu dan saya lupa apa yang saya mahu ambil.

Adakalanya saya penat.
Di suatu saat pula dengan kerahan tenaga yang luar biasa, saya terpaksa juga melakukannya. Ada yang suruh saya duduk diam, tapi tentunya jika saya duduk, saya akan ketinggalan masa-masa yang berharga tersebut. Seterusnya esok lusa, akan tetap perlu saya lakukan. Saya ke atas ke bawah, mencakup ruang lingkung seorang suri rumah yang kerjanya tak pernah siap. Saya duduk sekejap menghilang penat dan terlena sambil duduk di tepi meja.




Adakalanya saya sakit.
Pada satu-satu ketika bila mana Allah menguji saya dengan sedikit sakit dan saya tidak punya cuti rehat untuk itu. Saya gagahkan kaki melangkah walau langkahan itu tidak sederas biasa. Saya cuba memasak, walau mungkin masakannya tidak berasa apa. Saya masih ke hulu ke hilir menghantar dan mengambil anak-anak lantaran itu tanggungjawab. Saya menyandar menarik hela nafas, menahan sakit.

Adakalanya saya tak kuat.
Berpagi-pagi dengan kerja kuat. Bertengah hari dengan jadual padat lain pula. Saya suri rumah biasa-biasa aje yang cuba berlakon sebagai super hebat luar biasa. Angkat beras, angkat perabot dan kadang-kadang merelakan diri mengangkut tong gas yang masih penuh bila ayam tak sempat digoreng lantaran kehabisan gas. Dijeling ke arah jam, 20 minit sebelum si dia pulang yang mesti sudah lapar. Saya menyapu minyak panas di pinggang sebelum tidur, baru merasa sakit dek kerana berlagak kuat siang tadi. 

Adakalanya saya sedih.
Sudut hati selalunya tak mampu nak menampung satu-satu keadaan yang ada rasa untuk terus kekal di situ. Ibarat air di empangan. Bila berlaku satu keadaan yang airnya melebihi sukatan, maka di lepaskan sedikit supaya empangan tidak pecah, keadaan menjadi lebih buruk. Empangan hati juga begitu. Bantal ditekup ke muka. Terima kasih bantal, kerana sentiasa ada untuk mengesat air mata. .

Ya.
Saya manusia biasa.
Bukan malaikat.


Aida Ishak
Shah Alam



No comments:

Post a Comment