Friday, December 12, 2014

Sedikit yang Bermanfaat





Semoga sedikit dan bersederhana
Menjadi banyak dan bahagia selamanya.


Saya membuka freezer dan melihat isi kandungannya. Bekas-bekas aiskrim dahulunya kini dipenuhi lauk-lauk basah yang saya akan top-up seminggu sekali.

13 tahun usia perkahwinan saya tatkala coretan ini ditulis, dan saya kadang kala mula ketandusan idea intuk memasak. Pernah terlintas dalam fikiran saya bagaimana nanti usia perkahwinan menginjak angka 30? Masih mampukah saya utk menyediakan hidangan-hadangan lazat dan menyihatkan buat keluarga.

Lama termenung dan merenung freezer namun saya masih kalah pada idea. Sudahnya saya mencapai telefon dan cuba utk menghubungi suami jika dia boleh memberikan idea.

Mungkin kedengaran agak kelakar, tapi itulah saya. Bukan untuk mengganggunya dengan kekurangan idea saya, tetapi saya senang untuk bertanyakannya dan jika dia berkehendakkan sesuatu hidangan, jalannya akan jadi lebih mudah. Dua kali deringan tidak dijawab. Mungkin suami sedang bermesyuarat.

Saya kembali membazirkan masa, membuka freezer dan termenung. Tiba-tiba telefon saya berdering. Melihat pada skrin, saya tersenyum. Suami membalas panggilan saya.

"Assalamualaikum. Call abang?" Si Dia memulakan bicara. Dia bertanya, meminta kepastian kerana kadang-kadang anak-anak menggunakan telefon rumah untuk bercakap dengan Baba mereka.

“Iye, sekadar nak bertanya, kalau-kalau boleh bagi idea apa nak masak hari ni, atau ada food apa abang nak makan?”

“Dah tak ada idea?” Mungkin suami dapat mengangak yang saya ketandusan idea. Saya tergelak. Mentertawakan diri sendiri.

“Masaklah apa pun. Tak payah banyak-banyak, biar sedikit tapi bermanfaat.”

“Manfaat?”

“Iya lah, manfaat pada perut.” Kami tergelak.

Itulah suami, mudah dan senang bab makanan. Dia makan apa sahaja yang dimasak dan jarang memberi komentar. Sebagai isteri, jika suami makan banyak, maka kenalah dengan seleranya dan selalunya memang jarang dia makan sedikit!

Sedikit sebanyak ia mendidik rasa syukur dalam diri saya. Bersyukur dikurnia suami yang tidak cerewet walaupun dia tidak pandai memuji.

“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” Surah Ibrahim : ayat 7

“Apa-apa pun dalam hidup ni, yang penting ianya mendatangkan manfaat, biarpun sedikit.”


Aida Ishak
Shah Alam


No comments:

Post a Comment