Thursday, December 11, 2014

Hentikan Membandingi!



Personality begins when comparing ends.



“Saya risau. Anak saya selalu tak baca buku. Tak macam anak awak.” Luahan hati seorang ibu kepada seorang ibu lain yang sama-sama menunggu anak-anak pulang sekolah. Tampak si ibu berasa susah hati berikutan memek mukanya yang seakan runsing dan dahinya berkerut. Ibu yang seorang lagi mengangguk-angguk dan memberi sedikit tips kaedah mendidik anak-anak yang ingin menghadapi peperiksaan.

Tatkala itu saya melihat anak-anak kecil darjah satu keluar dari kelas masing-masing dan berkejaran mendapatkan ibu atau ayah yang menunggu mereka di pintu pagar. Berbondong-bondong mereka berlarian dengan beg yang agak berat di belakang. Saya nampak mereka semuanya sama. Jika dilihat secara rawak begitu, tiada satupun yang saya dapat tahu yang mana pandai dan yang mana belum pandai. Tetapi setelah saya melihat seorang anak berjalan lemah gemalai ke arah ibu yang berkata-kata tadi, saya sudah didatangi satu persepsi.

"Berjaga2 lah ibu bapa yang suka membandingkan anak2nya dengan anak2 org lain. Kerana mereka juga akan membandingkan ibu bapanya dengan ibu bapa org lain"
Ustaz Hasrizal Abdul Jamil.

Saya teringat akan satu masa di mana saya masih lagi belasan tahun. Rakan-rakan masing-masing suka membandingkan pekerjaan ibu bapa mereka dan menceritakan perihal adik beradik mereka. Jadi, kesimpulan yang tidak tertolak, apa yang ditulis oleh Ustaz Hasrizal di atas adalah benar. Seorang anak yang selalu dibandingkan, akan membandingkan ibu bapanya.

Oleh itu adalah sangat tidak wajar kita sebagai ibu bapa yang kononnya terlebih dahulu makan garam, ‘menggaramkan’ juga kehidupan anak-anak kita agar mereka ‘terlebih masin’.

Jangan kerana kita memandang anak kita tidak mempunyai kebolehan setara dengan rakan taulannya, kita cuba membandingkan mereka dan bersungguh-sungguh mengharapkan anak-anak kita akan menjadi lebih baik daripada ‘target’ kita, sedang kita tidak cuba bertanyakan kepada mereka apakah ‘target’ mereka untuk kita.

Ingat, setiap anak adalah unik!

Sebagai ibu bapa, saya berpendapat kekurangan anak-anak bukanlah untuk dibandingi, tetapi untuk ditampung oleh kelebihan mereka. Sebagai satu contoh, jika mereka tidak pandai bermain bola sepak tetapi mempunyai kelebihan dalam bermain badminton, mengapa kita tidak membuka jalan bagi kelebihannya dan menutup ruang terbuka kekurangannya. Tidak perlu untuk kita bercerita tentang satu-satu kekurangan anak-anak yang boleh membuatkan mereka rasa tidak berdiri sama tinggi dengan yang lainnya. Sekali lagi diingatkan, walau mereka anak, mereka tetap punya hak, dan kita sebagai ibu bapa, perlu menghormati hak mereka.

Bahkan (mereka berdosa memakan hak orang kerana) sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertakwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertakwa. ‘Ali Imran : 76

Kita pernah jadi anak, dan anak-anak kita bakal menjadi seperti kita sekarang. Apakah acuan yang kita cuba bentukkan sekarang akan mencorakkan mereka menjadi ibu bapa yang mithali buat cucu-cucu kita nanti? Renung dan fikirkan bagaimana jika mereka selalu dibandingkan. Jika di dalam ayat matematik, seharusnya “ Nenek = Mak = Anak “, dan bukan lah tanda  “ =/= “.

Selamat berhijrah, ibu ayah!


Aida Ishak
Shah Alam

No comments:

Post a Comment