Anak-anak yang halus mulus wajahnya menampakkan mereka sangat tulus dan lurus dalam menangani kehidupan.
Mereka menerima sahaja apa pun yang dilakukan terhadap mereka dengan harapan apa yang mereka terima itulah perhatian yang mereka dambakan.
الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا
“Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia” (Al Kahfi: 46)
Lantaran wajarkah seorang ibu menolak anaknya sehingga terjatuh kerana mungkin kelakuan anaknya sumbang di matanya?
Atau layakkah anak-anak diherdik dan dimarahi dengan kata-kata yang kita sendiri tak sanggup mendengarnya?
Atau tergamakkah seorang ayah membiarkan isteri dan anak-anaknya dibasahi hujan untuk ke sekolah sedang dia asyik merokok yg jika disimpan jumlahnya boleh membelikan sebuah kenderaan yang bisa memberi kemudahan buat orang-orang yang berada di bawah tanggungannya?
Yang pasti, anak itu jika ditakdirnya pergi dahulu, maka syurga yang telah Allah janjikan buatnya sedang ibu? Sedang ayah?
Jangan letakkan ajinomoto dalam perasaan kasih sayang wahai ayahanda, bonda. Berikan yang asli, yang datang dari hati, bukan yang diletakkan terlebih asid ataupun alkali. Congaklah agar sifir dua kali lima tetap sepuluh dan bukannya tujuh.
Aduhai ibu ayah, kalian akan tua satu hari nanti dan kalian juga memerlukan anak-anak memberikan perhatian sewajarnya buat kalian. Cukuplah untuk kita mendengar kisah ibu ayah yang terpaksa merempat sana sini kerana anak-anak yang tidak berterima kasih. Cukuplah dengan statistik yang ada kerana mendera dan diderai. Kasihanilah akan diri sendiri yang semakin singkat jelajahnya di muka bumi ini.
Anak-anak pada zahirnya lebih arif menggunakan matanya, daripada telinganya. Andai anda tidak meletakkan diri anda sebagai simbol kebenaran, jangan marahkan mereka jika mereka menjadi simbol kebatilan.
Maka ingatlah kalian dengan amanah Allah ini. Didiklah mereka menjadi 'abd kepada Allah bukan abdi buat ibu ayah. Solehkan mereka dengan kesolehan mu, bukan dengan ke'toleh'an mu. Asuhkanlah mereka dengan ilmumu, bukan dengan emosimu. Raikan mereka, Insya Allah, meraka akan meraikanmu.
يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ ﴿٢٧﴾ ارْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً ﴿٢٨﴾ فَادْخُلِي فِي عِبَادِي ﴿٢٩﴾ وَادْخُلِي جَنَّتِي ﴿٣٠﴾
Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai; lalu masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku (Al-Fajr [89]: 27-30).
Aida Ishak
Shah Alam
No comments:
Post a Comment