Wednesday, March 25, 2015

Masa Berdua Sahaja



"cinta mendorong kita bekerja.
 cinta merangsang kita berperanan. 
cinta menjadikan segala tugas dan tanggungjawab yg dilakukan sebagai satu keseronokan dan kepuasan dalam hidup" 
- Ustaz Hasrizal Abdul Jamil


Baru sahaja selesai menonton televisyen. Bukannya menonton dan berada di hadapan televisyen sepenuhnya, tetapi saya hanya sebagai pendengar tatkala tangan sedang meluahkan apa yang diterjemah minda di papan kekunci computer.

Beberapa tokoh motivasi terkenal bersama-sama membincangkan tajuk mengenai “pasangan memerlukan masa sendiri”. Nampak rancak perbincangan tersebut dan dalam program tersebut, kesimpulan yang dapat saya buat ialah mereka sama-sama bersetuju yang suami isteri perlu masa bersendiri tanpa kehadiran anak-anak demi kerukunan rumahtangga mereka.

Apa pandangan anda berkenaan topik ini?

Jika ditanya pandangan saya, suka saya mengatakan ianya bergantung pada keadaan. Mengapa saya berpandangan sedmikian?

Andai anda punya kemudahan dan punya ahli keluarga ataupun penjaga untuk menjaga anak-anak sepeninggalan anda berdua, silakanlah untuk menghabiskan masa berdua sahaja. Ianya dapat menyemarakkan lagi rasa kasih sayang dan mungkin merupakan peluang terbaik untuk anda membuat ‘ice breaking’ bagi menentukan hala tuju keluarga dan juga anak-anak.

Namun, jika pemergian anda akan menyusahkan orang di sekeliling, atau meninggalkan anak-anak terkapai-kapai sendiri, saya rasa lebih baik anda membatalkan niat yang asalnya murni. Saya rasakan lebih baik untuk anda mengambil cuti sehari bersama pasangan dan lakukan aktiviti ‘dating’ semasa anak-anak di sekolah. Ataupun, anda mungkin lebih memerlukan satu bentuk perancangan yang lebih ‘family friendly’ dan bukannya ‘honeymoon’. Mungkin perancangan mengadakan satu bentuk rehlah yang disertai oleh semua ahli keluarga dan kemudiannya bersama-sama bertukar cerita dan nasihat ataupun aktivit-aktiviti yang berasaskan ‘team building’ yang mampu membuatkan ukhuwah setiap ahli keluarga lebih rapat dan kuat.

Saya teringat akan kisah pertama kali saya diajak turut serta dalam jaulah suami. Suami meminta untuk saya menemannya ke kota Jakarta untuk membentang sebuah kertas kerja di sana. Walau hati saya melonjak gembira pada mulanya, tetapi semakin dekat masa sampai, semakin gemuruh hati dan sedih ingin meninggalkan Hashimiz.

Sampai di saat dan ketika hari saya meninggalkan mereka, saya yang lebih-lebih menangis mengalahkan anak-anak. Sesampainya saya di kota Jakarta, saya terus meminta suami menghubungi anak-anak tetapi suami menasihatkan saya untuk bersabar. Insya Allah segala-galanya akan berjalan lancar dan letaklah sepenuh kepercayaan kepada kedua bonda yang menjaga mereka.
“Hasbunallah wanikmal wakeel.” Katanya perlahan. Sememangnya kalimah itu sangat menenangkan dan meyakinkan.

"Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani;" Al Baqarah : 128

Alhamdulillah. Segalanya berjalan lancar walaupun saya tidak dapat menafikan agenda rindu-rinduan dan saat yang paling seronok saya rasakan adalah apabila mereka memeluk saya dengan erat apabila saya sampai di rumah. Priceless!!

Maka, kesimpulannya di sini, masa sendirian bersama pasangan bukanlah bermakna kita perlu pergi jauh, cukup sekadar keperluan dan jika punya kesempatan dan tiada kekangan, tidak salah untuk percutian berdua-duaan. Yang penting, kita perlu juga memikirkan masa sendiri orang lain, bukan hanya masa sendiri kita.

Aida Ishak
Shah Alam

No comments:

Post a Comment